Friday, 10 July 2015

"Anakku, usah mabuk kepayang dengan dendangan Bumiputera"

Tulisan ini dikongsikan oleh Tuan Roslan Ab Hamid mengenai Video Viral keluhan generasi muda yang bertajuk "Saya Zahra". Pendapat Tuan Roslan dari perspektif orang lama yang mempunyai buah fikiran yang bernas. Baca lagi:


PESAN PAPA 31/120

ANAK: Tadi kami tengok video ucapan Zahra depan pemimpin. Petah dia berkata. Ramai kalangan cerdik pandai puji dia. Majlis itu anjuran MTEM. Apa pandangan papa?

PAPA: Anakku - papa tidak ingin komen apabila kawan papa Abang Shahbudin Haji Embun tag papa video itu. Ramai orang hebat disitu termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Agensi.
Tapi, apabila anak anak bertanya, izinkan papa menjawab , perjumpaan itu telah menjadi rumah ratapan dan rumah kritikan. Skrip itu ditulis minta kasihan dari pemimpin.

Papa sudah lama tidak ambil peduli dengan segala Majlis yang menamakan diri mereka Tindakan Melayu seperti ini. Separuh dari usia papa bersama mereka. Mereka bercakap dan bermesyuarat. Hasilnya tidak ke mana mana.

Anakku- usah mabuk kepayang dengan dendangan Bumiputera, Penduduk asal negara ini andai bumi dipijak milik orang. Usah berbangga dengan baka dan nasab keturunan nenek moyang yang kaya raya, andai seluruh harta benda tergadai hanya kerana pesona kuasa. Tan Sri Dr Nordin Kardi sudah lama ingatkan kami tentang ini.

Bumi ini bukan hak mutlak kita yang boleh diwarisi. Ia sekadar pinjaman. Ianya sementara. Kuasa itu boleh digilirkan.

Universiti mengajar kita berfikir. Ada otak gunakanlah. Mesti survive. Bagaimana kita boleh merintih dan meratap tatkala Allah berikan kita nikmat menghuni bumi bertuah untaian zamrud khatulistiwa hamparan emas rezeki melimpah bernama Malaysia ini.

Pendatang berebut mahu datang ke sini. Mereka kaya raya. Berdagang di bumi asing. Tanpa menuntut keistimewaan. Tanpa subsidi. Yang mereka ada adalah yakin diri.

Anakku - jadilah orang berilmu. Jadilah manusia percaya rezeki itu anugerah Pencipta. Gunakan dayung usaha, dayung doa. Insha Allah kita bakal beroleh nikmat dari arah yang tidak disangka sangka.

Tidak ada kata terlambat dalam mencari ilmu dapatan mencapai tujuan. Sedaif mana sekalipun kita , kita masaih berhak memulakan usaha untuk berjaya.

Orang Kemboja datang ke sini sebagai pelarian. Mereka dicaci dan dihina di bumi bukan pertiwi mereka. Mereka cekal dan tabah masuk kampong keluar kampong berniaga. Mereka asaskan pasar malam. Mereka berjual. Hari ini mereka kaya dan berjaya.

Selagi Allah beri kudrat. Kita tidak akan merempat dibumi sendiri. Selagi ada semangat, kita boleh cari pendapatan. Selagi niat kita kerana Allah, Insha Allah selamat.

Zahra tidak harus lembik. Apakah skrip itu ditulis oleh Profesor dalam MTEM. Macam papa kenal aja gayanya. Apakah ianya disemak para pentadbir di beranda kuasa putrajaya sebelum Zahra petah bicara.

Andai ia datang dari suara orang muda, - ianya ucapan tanpa roh perjuangan. Anak muda tidak harus menyerah pada nasib. Mereka mesti bangkit berdikari.

Zahra , seorang peguam tidak patut merintih. Zahra patut perlu ingatkan pemimpin tentang amanah kepimpinan. Pemimpin mesti jaga negara. Bukan bercakap bukan bukan. Andai anak muda pintar terdidik cakap begitu, apa lagi harapan rakyat jelata yang hidup melata lata.

ANAK: Cukup papa, usah bersyarah lagi. Kita tukar topik. Please.

No comments:

Post a Comment